PEMAIN Wolverhampton, Ryan Bennett menjaringkan gol kedua dalam perlawanan menentang Leicester. FOTO Reuters
PEMAIN Wolverhampton, Ryan Bennett menjaringkan gol kedua dalam perlawanan menentang Leicester. FOTO Reuters
Agensi

LONDON: Selepas tumbang dua aksi terakhir di laman sendiri tanpa sebarang jaringan, Wolves bangkit penuh bertenaga apabila membenam Leicester City 4-3 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), di Molineux, hari ini.

Dalam pertembungan tadi, skuad bimbingan Nuno Espirito Santo meledak dua kali di babak pertama hasil jaringan Diogo Jota seawal minit kedua, diikuti gol sumbangan Ryan Bennet menerusi tandukan, 10 minit selepas itu.

Permainan semakin rancak apabila babak kedua bersambung. Leicester bangkit merapatkan jurang melalui serangan balas pantas dan Demarai Gray melakukan gerakan solo untuk gol pertama pelawat pada minit ke-47.

Harvey Barnes, yang memulakan aksi pertama bersama Leicester dalam saingan Liga Perdana menyamakan kedudukan pada minit ke-52, apabila percubaannya terkena kaki Conor Coady dan masuk ke gawang sendiri.

Wolves kembali mendahului 3-2 pada minit ke-34, apabila Ruben Neves melakukan hantaran jauh kepada Jota, sebelum pemain ini melakukan rembatan padu melepasi kawalan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Pada minit ke-87, Wes Morgan melonjak tinggi melepasi tiga pertahanan Wolves untuk melakukan tandukan hasil sepakan percuma James Maddison dan berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Namun, Jota sekali lagi muncul wira tuan rumah apabila meledak hatrik pada masa kecederaan.

Dia bijak menyambar hantaran Raul Jimenez dan melepaskan rembatan ketika barisan pertahanan Leicester sudah terkeluar daripada posisi mereka.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan dua mata dengan Wolves mengumpul 29 mata dan kini mengatasi lawannya untuk melonjak ke tangga kelapan (32 mata), manakala Leicester di tangga kesembilan (31 mata).- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 11:11 PM