SKUAD negara berdepan cabaran Denmark di peringkat kumpulan. -Foto fail
SKUAD negara berdepan cabaran Denmark di peringkat kumpulan. -Foto fail
Helmi Talkah


JUARA bertahan, Denmark akan menjadi pencabar utama skuad badminton lelaki negara dalam misi melangkah ke suku akhir sebagai juara kumpulan pada pusingan akhir Piala Thomas 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Pada majlis undian yang berlangsung di Bangkok, hari ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Russia dan Algeria.

Ironinya, Denmark adalah pasukan yang menjadi pemusnah kepada harapan Malaysia untuk melangkah ke pentas final pada edisi dua tahun lalu di Kunshan, China apabila tewas kepada juara Eropah itu di separuh akhir.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata inilah masa yang terbaik untuk barisan pemain negara melunaskan dendam ke atas Denmark susulan kekalahan di separuh akhir dua tahun lalu sekali gus mara pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan.

“Bagi saya, ini adalah undian yang agak baik untuk pasukan kita berbanding dengan kumpulan lain. Namun, pemain tidak boleh terlalu selesa kerana cabaran sebenar kita akan bermula di peringkat suku akhir.

“Bagi saya, pemain bukan saja perlu menewaskan Denmark tetapi yang paling penting adalah mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu mara ke separuh akhir sekali gus mengulangi pencapaian dalam dua edisi sebelum ini.

“Saya harap jurulatih dan pemain akan bersedia sepenuhnya untuk saingan Piala Thomas kali ini, saya mahu mereka buktikan kemampuan sebenar mereka,” kata Norza ketika dihubungi, hari ini.

Pada edisi 2014 di New Delhi, India, Malaysia berjaya mara ke final sebelum tewas di tangan Jepun manakala 2016 di Kunshan, skuad negara terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada Denmark.

Sementara itu, skuad wanita negara berdepan laluan sukar untuk melangkah ke suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

“Laluan tampak sukar untuk skuad wanita tetapi saya tidak mahu mereka berputus asa sebaliknya kekal fokus dalam persiapan. Kita perlu tewaskan Indonesia dan Perancis untuk melangkah ke suku akhir,” kata Norza.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir yang menyaksikan undian akan dijalankan sekali gus bagi menentukan lawan bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

INFO

UNDIAN PIALA THOMAS

Kumpulan A

China

India

Australia

Perancis

Kumpulan B

Indonesia

Korea Selatan

Kanada

Thailand

Kumpulan C

Taiwan

Jepun

Hong Kong

Jerman

Kumpulan D

Denmark

Malaysia

Algeria

Russia

PIALA UBER

Kumpulan A

Jepun

India

Australia

Kanada

Kumpulan B

Thailand

Taiwan

Jerman

Hong Kong

Kumpulan C

Korea Selatan

Denmark

Russia

Mauritius

Kumpulan D

China

Indonesia

Malaysia

Perancis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 9:08 PM