NURAINI (kanan) antara pemain hoki wanita yang bakal beraksi di Eropah. FOTO/FAIL
NURAINI (kanan) antara pemain hoki wanita yang bakal beraksi di Eropah. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said


BEKAS penyerang kebangsaan S Selvaraju tidak mahu empat pemain hoki wanita negara yang mendapat ‘lampu hijau’ beraksi di Eropah selama dua bulan bermula September depan, sekadar pergi ‘melancong’.

Sebaliknya, Selvaraju yang menjadi orang tengah bertanggungjawab dalam menjual resume pemain, berharap peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain apatah lagi bukannya mudah untuk beliau meyakinkan kelab-kelab di Jerman dan Itali.

“Malaysia sebenarnya mempunyai ramai pemain yang berbakat tetapi susah hendak mendapat tempat di Eropah kerana masalah bahasa, makanan dan corak permainan hoki di sana yang sedikit berbeza,” kata Selvaraju.

“Namun kelab-kelab ini sedia memberi peluang selepas berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain lelaki yang dibawa saya sebelum ini walaupun mereka tidak begitu mengetahui tahap hoki wanita Malaysia.

“Saya tidak mahu Malaysia terus ketinggalan dan pemain perlu belajar berdikari jika hendak berjaya dan inilah detik permulaannya. Jadi, saya harap mereka sedar pergi Eropah ini bukannya untuk melancong dan muatnaik gambar di Facebook.”

Dalam sidang media hari ini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan setakat ini hanya empat pemain yang akan ke Eropah. Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri menyertai kelab Itali, Butterfly Roma sementara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti (Wespen Zehlendorfer) dengan segala perbelanjaan mereka termasuk tiket penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan masing-masing.

Bagi lagi tiga pemain - Raja Norsharina Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said - mereka perlu menunggu kerana proses rundingan akhir masih berjalan antara wakil MHC bersama Kelab Hoki Uddingston di Glasgow, Scotland.

Malah, Selvaraju yang kini lebih banyak menghabiskan masa di bumi Eropah bagi meneruskan karier hokinya berharap keputusan empat pemain ini menimba ilmu di pentas tertinggi Jerman dan Itali itu menjadi titik permulaan kepada lebih ramai pemain wanita negara mendapat peluang ke Eropah.

“Empat pemain ini perlu beraksi dengan baik sekiranya berhasrat membantu pemain lain pula mendapat tempat di Eropah, kalau gagal kita akan menghadapi masalah besar di masa depan.

“Sebagai contoh, Argentina menghantar semua pemain mereka beraksi di Eropah, selepas 10 tahun akhirnya mereka mendapat hasil yang lumayan apabila memenangi pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

“Macam Malaysia pula kita menjalani latihan sepanjang tahun dan kerap pergi siri jelajah, tetapi pemain lebih banyak bergerak dalam kelompok jadi tidak banyak yang boleh dipelajari berbanding pemain Eropah walaupun hanya berlatih seminggu tiga kali tetapi juara dalam apa jua pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 4:10 PM