Pemain England bagi aksi Kumpulan B menentang Iran di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. FOTO EPA
Pemain England bagi aksi Kumpulan B menentang Iran di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. FOTO EPA
AFP

Doha: Gareth Southgate meletakkan Bukayo Saka dalam senarai kesebelasan utama England dan menaruh harapan pada pertahanan yang bergelut dengan prestasi, Harry Maguire ketika skuad Three Lions memulakan kempen Piala Dunia berdepan Iran, malam ini.

Saka penyerang Arsenal yang terlepas menyempurnakan penalti penting buat England dalam aksi penentuan penalti pada final Euro 2020 menentang Itali, diberi kepercayaan oleh Southgate berbanding menurunkan bintang Manchester City, Phil Foden dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford.

Pemilihan Saka bagi perlawanan Kumpulan B hadir selepas dia mempamerkan aksi cemerlang buat Arsenal ketika membantu Gunners melonjak ke kedudukan teratas carta Liga Perdana sekali gus memberi bayangan dia seakan sudah bersedia pada saingan Piala Dunia.

Mason Mount dan Raheem Sterling mengisi tempat dalam barisan serangan di belakang penyerang England, Harry Kane.

Dengan beberapa pilihan pemain pertahanan berpengalaman, Southgate mengekalkan Maguire di pertahanan tengah di sebalik aksi buruk dan kekurangan minit perlawanan buat Manchester United pada musim ini.

John Stones beraksi bersama Maguire bagi mempertahankan kubu England selain Kieran Trippier pertahanan kanan dan Luke Shaw pertahanan kiri.

Declan Rice dan Jude Bellingham membentuk jentera tengah England tatkala anak buah Southgate mengakhiri enam perlawanan tanpa kemenangan ketika mendahului saingan sebelum pusingan akhir kejohanan.

Iran tanpa penyerang utama, Sardar Azmoun selepas bintang Bayer Leverkusen gagal pulih daripada kecederaan otot yang menyaksikan dia direhatkan sejak Oktober lalu.

Mehdi Taremi penyerang Porto yang mempamerkan aksi menakjubkan di peringkat Liga Juara-Juara akan bergandingan dengan bekas penyerang Brighton, Alireza Jahanbakhsh di bahagian serangan Iran.

England (4-2-3-1)

Jordan Pickford; Kieran Trippier, John Stones, Harry Maguire, Luke Shaw; Declan Rice, Jude Bellingham; Bukayo Saka, Mason Mount, Raheem Sterling; Harry Kane

Jurulatih: Gareth Southgate (ENG)

Iran (3-5-2)

Alireza Beiranvand; Morteza Pouraliganji, Rouzbeh Cheshmi, Majid Hosseini; Sadegh Moharrami, Ali Karimi, Ahmad Nourollahi, Ehsan Hajsafi, Milad Mohammadi; Alireza Jahanbakhsh, Mehdi Taremi

Jurulatih: Carlos Queiroz (POR)

Pengadil: Raphael Claus (BRA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 9:13 PM