SATHIA masih belum berpuas hati dengan prestasi benteng Selangor. FOTO/NSTP
SATHIA masih belum berpuas hati dengan prestasi benteng Selangor. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, B Sathianathan mengakui masih belum puas hati dengan prestasi benteng pertahanannya biarpun sudah mengharungi empat aksi pemanas badan sebagai persiapan menjelang Liga Malaysia (Liga-M) bulan depan.

Gawang skuad Red Giants dilihat mudah ‘bocor’ apabila melepaskan sekurang-kurangnya satu gol termasuk ketika seri 1-1 dengan Pulau Pinang, tewas kepada PKNP FC (0-2) dan UiTM FC (1-2) sebelum bangkit mencipta kemenangan pertama ke atas Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

“Serangan kami bagus. Pemain di bahagian atas mampu mencipta peluang di depan gol, lagi pun penyerang import (Rufino Segovia) tidak beraksi. Mungkin kalau dia bermain, kami boleh jaringkan banyak gol lagi.

“Tapi benteng pertahanan kami masih longgar. Dalam empat aksi persahabatan, kami mudah dibolosi dan ia sedikit membimbangkan saya.

“Namun saya yakin, kelemahan itu akan segera dapat diatasi sebelum liga bermula bulan depan. Selepas ini, kami akan ke Thailand bagi aksi persahabatan di sana dan kami akan gunakan kesempatan itu untuk perbaiki segala kelemahan,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Selangor yang berwajah baharu musim ini, dijangka muncul antara pencabar terkuat merebut mahkota Liga Super selepas ia kekal menjadi milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) selama lima musim berturut-turut.

Antara pemain baharu yang dibawa masuk musim ini Faiz Nasir, Latiff Suhaimi, Syazwan Zainon, Norhakim Isa, K Prakabaran, Halim Saari, Farizal Harun, Nurridzuan Abu Hassan dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Selain kelompok pemain baharu itu, bekas pengendali kebangsaan itu turut mengekalkan beberapa tonggak seperti penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino di samping Amri Yahyah, Syahmi Safari, Khairul Azhan Khalid dan Sean Eugene Selvaraj.

“Sekarang saya masih menguji beberapa pemain import khususnya di posisi pertahanan tengah untuk digandingkan dengan pemain tempatan. Sekiranya berjaya mencari pemain yang sesuai, saya yakin pertahanan akan lebih kuat dan mantap,” katanya.

Difahamkan, selain Rufino yang dikekalkan, Selangor sudah mendapatkan khidmat tiga import baharu Antonio German, Endrick Dos Santos dan seorang pemain Vietnam, Michal Nguyen bagi mengisi kuota ASEAN, sekali gus meninggalkan satu lagi tempat kosong untuk diisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:23 PM