PEMAIN Malaysia, Fitri Saari cuba melepasi pemain New Zealand ketika perlawanan ketiga antara Malaysia dan New Zealand di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Saddam Yusoff
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari cuba melepasi pemain New Zealand ketika perlawanan ketiga antara Malaysia dan New Zealand di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Saddam Yusoff
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: New Zealand berjaya menyamakan kedudukan sebanyak dua kali sebelum Malaysia menewaskan pasukan itu 4-2 dalam aksi persahabatan ketiga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, skuad Kiwi sudah memenangi dua perlawanan sebelum ini dengan menewaskan Malaysia 2-1 dalam aksi pertama sebelum melakar kemenangan 4-3.

Dalam perlawanan hari ini, Malaysia membuka tirai jaringan menerusi Razie Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti diperoleh seawal minit kedua tetapi New Zealand berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kane Russell pada minit ke-10.

Tengku Ahmad Tajuddin meletakkan Malaysia kembali di depan apabila dia menjaringkan gol padang pada minit ke-26 tetapi sebaik suku keempat bersambung, New Zealand sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan George Muir.

Bagaimanapun, Faizal Shaari dan Nik Aiman Nik Rozemi memastikan kemenangan memihak kepada Malaysia apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-49 dan 56.

Malaysia dan New Zealand akan berlepas ke Bhubanesawar, India bagi menghadapi kempen Piala Dunia bermula 28 November hingga 16 Disember ini.

Skuad negara yang dibimbing Roelant Oltmans diundi dalam Kumpulan D bersama Belanda, Jerman dan Pakistan.

"Saya berpuas hati dengan barisan pertahanan tetapi ada sedikit kelonggaran ketika New Zealand menjaringkan gol kedua mereka.

"Secara keseluruhan, semua tiga perlawanan persahabatan ini (menentang pasukan nombor sembilan dunia) menjadi persiapan terbaik buat kami bagi mengharungi saingan sukar dalam Kumpulan D," kata Oltmans.

Anak buah Oltmans akan mengadakan aksi persahabatan terakhir menentang Perancis di Bhubanesawar sebelum membuka kempen bertemu Belanda pada 1 Disember.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 8:41 PM