PEMAIN River Plate tiba di Madrid bagi aksi final pusingan kedua Copa Libertadores di Santiago Bernabeu. FOTO Reuters
PEMAIN River Plate tiba di Madrid bagi aksi final pusingan kedua Copa Libertadores di Santiago Bernabeu. FOTO Reuters

MADRID: Kelab bola sepak River Plate selamat mendarat di Madrid pagi ini sehari selepas seteru final mereka, Boca Juniors tiba di ibu negara Sepanyol bagi aksi final pusingan kedua Copa Libertadores di Santiago Bernabeu, Ahad ini.

Polis Sepanyol sudah meningkatkan kawalan keselamatan di stadium berkenaan menjelang aksi final itu.

Aksi final berkenaan terpaksa dipindahkan ke Madrid membabitkan jarak 10,000 km merentasi Lautan Atlantic, bagi mengelak keganasan bola sepak.

Dijangka 2,500 pegawai keselamatan akan bertugas pada final berkenaan yang turut dikenali sebagai ‘Superclasico’ susulan pertembungan dua seteru tetangga di Argentina itu.

Polis Sepanyol mengasingkan laluan ketibaan kedua-dua kumpulan penyokong dengan menutup laluan The Paseo de la Castellana, bermula 9 pagi waktu tempatan bagi mengelak insiden keganasan penyokong berulang.

Aksi final itu dijadualkan pada 24 November lalu tetapi ditangguhkan selepas beberapa pemain Boca cedera terkena batu yang dilontar oleh kumpulan penyokong lawan ketika bas yang mereka naiki menghampiri Stadium Monumental.

Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) segera menagguhkan perlawanan itu dan memindahkannya ke Madrid meskipun keputusan itu dibantah hebat kedua-dua kelab berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:24 PM