ANGGOTA polis memantau situasi di luar Stadium Wanda Metropolitano. - FOTO Reuters
ANGGOTA polis memantau situasi di luar Stadium Wanda Metropolitano. - FOTO Reuters
AFP

SEPANYOL mengerah 4,700 petugas keselamatan bagi menghadapi final Liga Juara-Juara membabitkan dua kelab Inggeris yang dianggap berisiko tinggi, kata jurucakap keselamatan hari ini.

Langkah keselamatan lebih ketat diambil membabitkan pertembungan Liverpool dan Tottenham berbanding aksi final Piala Libertadores di antara dua kelab dari Argentina, River Plate dan Boca Juniors di Madrid tahun lalu, menurut Pengarah Polis Kebangsaan Sepanyol, Francisco Pardo Piqueras.

"Ia kawalan keselamatan paling besar dalam acara sukan demi menjamin keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Madrid.

Operasi keselamatan membabitkan 2,000 anggota polis, bomba dan pengawal keselamatan persendirian, menurut jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan.

Dianggarkan 32,000 penyokong kedua-dua pasukan menyaksikan final di Stadium Wanda Metropolitan yang berkapasiti 68,000 tempat duduk.

Beribu-ribu lagi penyokong tanpa tiket memenuhi Madrid dari Britain selain selatan Sepanyol dan Portugal yang mempunyai ramai rakyat Inggeris.

Hampir 4,000 polis dan pengawal keselamatan swasta bertugas mengawasi final Piala Libertadores yang berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu.

Kali terakhir final Liga Juara-Juara diadakan di Sepanyol pada 2010 ketika Inter Milan menewaskan Bayern Munich 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:53 AM