ZINEDINE ZIDANE
ZINEDINE ZIDANE
Reuters

MADRID: Bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane akan kembali ke arena pengurusan bola sepak dalam tempoh terdekat, kata anak lelaki legenda Perancis itu, Enzo.

Pemenang juara dunia bersama Perancis, Zidane mengetuai Real menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara berturut-turut (2016-2018), serta menjuarai La Liga (2017) sebelum membuat kejutan meninggalkan Santiago Bernabeu pada Mei lalu.

Enzo yang beraksi di bahagian tengah, dan dipinjamkan ke kelab Sepanyol, Rayo Majadahonda dari kelab Switzerland, Lausanne-Sport berkata, bapanya memerlukan rehat selepas bertungkus lumus di Real, tetapi akan kembali ‘beraksi’ tidak lama lagi.

“Kita semua tahu yang bapa saya mencintai bola sepak dan gemar menjadi jurulatih. Sudah tentu, dia akan kembali tidak lama lagi. Itu adalah keputusannya,” kata Enzo kepada akhbar Sepanyol, AS.

“Ketika ini dia mengambil peluang untuk berehat, iaitu sesuatu yang diperlukannya, kerana ketika di saat-saat akhir dia di Real, situasinya adalah bagus tetapi sukar, dengan kerja yang amat banyak.”

Enzo bermain dengan skuad remaja Real ketika bapanya berada di kelab itu, tetapi berpindah ke Alaves pada 2017 sebelum menyertai Lausanne-Sport pada Januari.

Zidane, 46,  pernah beraksi bersama Cannes, Girondins Bordeaux dan Juventus sebelum menyertai skuad ‘Galacticos' di Real, dan dia memenangi Liga Juara-Juara pada 2002 dan La Liga pada tahun berikutnya. 

Dia turut memenangi Piala Dunia pada 1998 dan Euro pada 2000.

Zidane bersara daripada kancah bola sepak pada 2006 dan kemudian mengalih fokusnya terhadap bidang pengurusan bersama skuad B Real pada 2014, diikuti pasukan utama pada Januari 2016.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 9:32 AM