ZIDANE tegaskan James tiada apa yang hendak dibuktikan. -Foto Reuters
ZIDANE tegaskan James tiada apa yang hendak dibuktikan. -Foto Reuters
AFP

ZINEDINE Zidane menegaskan tiada apa yang perlu dibuktikan James Rodriguez apabila Bayern Munich melayan kunjungan Real Madrid dalam pertemuan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

James menyinar di Bayern sejak Zidane membenarkannya meninggalkan Real secara pinjaman dua tahun pada Julai lalu untuk mengakhiri tiga musim yang sukar di Madrid.

Perancang tengah Colombia itu kembali menemui sentuhan lamanya selepas mendapat lebih kepercayaan beraksi sekali gus membuktikan percaturan Real dan Zidane suatu kesilapan.

“James gemar bermain bola sepak, sudah tentu dia mahu beraksi baik, dan bukannya kerana ingin buktikan saya silap,” kata pengendali Real, Zidane.

“Saya tidak gembira untuk melepaskan James. Tetapi dia mahukan minit dalam padang, yang mana saya faham. Saya tidak pernah mempunyai masalah dengannya.”

Real membayar Monaco $91.7 juta dolar (RM358.50 juta) untuk mendapatkan James sejurus dia menamatkan kempen Piala Dunia 2014 sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan membuat permulaan sempurna dalam musim pertamanya.

Bagaimanapun, pelantikan Zidane sebagai pengendali Real pada Januari 2016 merubah nasibnya yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan selepas itu.

Real ketika ini ketinggalan 15 mata kepada Barcelona dalam perebutan gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya pentas yang masih menawarkan piala.

Zidane berkata Real sedia menghadapi cabaran Bayern tatkala kepulangan ke Allianz Arena itu masih dibayangi kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir tahun lalu.

Mereka juga turut menghadiahkan Bayern kekalahan besar 4-0 di laman sendiri dalam pertemuan separuh akhir 2014.

“Pemain menggemari perlawanan seperti ini, walaupun kami sedar perlu menanggung azab untuk menang di sini,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 10:36 AM