RAMOS menanduk masuk gol pertama Real. - FOTO EPA
RAMOS menanduk masuk gol pertama Real. - FOTO EPA
Reuters

SERGIO Ramos dan Casemiro menyelamatkan juara 13 kali, Real Madrid daripada kekalahan memalukan apabila bangkit mengikat Club Bruges 2-2 dalam aksi Liga Juara Juara awal pagi tadi.

Selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Emmanuel Bonaventure, Real yang meningkatkan asakan pada babak kedua merapatkan kedudukan hasil tandukan kapten Ramos dan Casemiro menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat permainan juga menerusi tandukan.

Real yang tewas 0-3 di Paris St Germain dua minggu lalu, kini tercorot dalam Kumpulan A selepas meraih satu mata daripada dua perlawanan manakala Bruges kedua dengan dua mata. PSG gah di puncak dengan enam mata selepas menewaskan pasukan di tangga ketiga Galatasaray 1-0.

Pemain Nigeria, Bonaventure mengejutkan Santiago Bernabeu dengan gol pendahuluan pada minit ke-9 selepas bola tolakannya dari jarak dekat gagal diselamatkan penjaga gol Real, Thibaut Courtois.

Bonaventure sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-39 hasil kesilapan pemenang Ballon d'Or 2018, Luka Modric. Dia hampir terjatuh namun masih mampu menyungkit bola tinggi melepasi jangkauan Courtois. Pada awalnya jaringan itu dibatalkan angkara offsaid tetapi disahkan reviu VAR.

Zidane pula berang dengan aksi pemainnya pada babak pertama tetapi gembira dengan tindak balas pada babak kedua.

"Keputusan ini agak buruk tetapi reaksi pemain kami baik,” katanya dalam sidang akhbar. “Kami tak boleh gembira kerana kami tak pernah beraksi seteruk ini pada babak pertama. Bagaimanapun saya lega kami meraih satu mata.”

Tuan rumah merapatkan kedudukan menerusi tandukan Ramos yang kembali beraksi selepas digantung satu permainan ketika tewas 0-3 kepada PSG dan Casemiro melegakan penyokong tuan rumah pada minit ke-85 selepas menanduk masuk sepak percuma untuk mengelakkan kekalahan memalukan di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:02 AM