BEKAS jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (kanan) bergambar bersama peminat di Paris. FOTO AFP
BEKAS jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (kanan) bergambar bersama peminat di Paris. FOTO AFP
AFP

ZINEDINE Zidane mengakui beliau kini memperoleh masa lebih lapang selepas berundur diri daripada membimbing Real Madrid, sehari selepas kelab gergasi Sepanyol itu memenangi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya rasa lebih lapang dan sangat seronok,” kata Zidane ketika majlis perasmian sebuah taman permainan di Saint Denis, yang juga lokasi Stade de France, tempat di mana beliau bersama Perancis memenangi Piala Dunia 1998.

“Saya tak tahu apa yang ingin saya lakukan. Yang penting adalah saya sudah membuat keputusan dan yang (perkara) lain itu sama-sama kita nantikan,” katanya.

Zidane yang menjaringkan dua gol ketika Perancis mencatat kemenangan 3-0 ke atas Brazil pada final Piala Dunia 1998, bercakap menjelang pertemuan skuad yang memenangi Piala Dunia berdepan International XI - sebagai menandakan ulang tahun ke-20 kejayaan Perancis memenangi piala paling berprestij itu.

Zidane meletak jawatan selaku pengurus Real pada 31 Mei lalu dengan memberi alasan sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan buat dirinya serta kelab, selain mengakui tidak pasti sama ada mampu mengekalkan rekod kejuaraan di Real.

Tegasnya, tiada mana-mana kelab mempengaruhi keputusannya untuk berpisah dengan Real, meskipun pemerhati mengaitkannya dengan tugas selaku jurulatih kebangsaan Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 10:04 AM