MAHREZ (depan) ledak dua gol bantu Algeria benam Togo. FOTO/AGENSI
MAHREZ (depan) ledak dua gol bantu Algeria benam Togo. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Bintang Manchester City, Riyad Mahrez meledak dua jaringan bagi membantu Algeria membelasah Togo 4-1 di Lome, untuk meneruskan kemaraan ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2019 di Cameroon, pagi tadi.

Buat pertama kalinya, Mauritania turut mara, disusuli Guinea dan Ivory Coast dengan kini 13 pasukan sudah layak ke acara dwi tahunan itu.

Cameroon, Mesir, Madagascar, Mali, Maghribi, Nigeria, Senegal, Tunisia dan Uganda sudah pun menempah tiket awal.

Hanya tinggal 11 tiket untuk diraih pada perlawanan keenam kumpulan pada Mac tahun depan, dengan bekas juara, Republik Demokratik Congo, Ghana dan Afrika Selatan antara yang menjadi pilihan.

Pemain Terbaik Afrika 2016, Mahrez meledak jaringan pada setiap babak, selain satu jaringan Youcef Attal membolehkan skuad Desert Foxes mempunyai kelebihan tiga gol dalam tempoh 30 minit.

Kodjo Fo-Doh Laba merapatkan jaringan untuk Togo pada babak kedua, sebelum Baghdad Bounedjah melengkapkan jaringan keempat Algeria pada masa kecederaan.

Algeria kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan Kumpulan D, diikuti Benin (tujuh) selain Togo dan Gambia terikat lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:32 AM