AKSI Aboubakar meledak rembatan ketika menentang Cape Verde.
AKSI Aboubakar meledak rembatan ketika menentang Cape Verde.
AFP

Yaoundé: Kapten Cameroon, Vincent Aboubakar menjaringkan gol kelima di Piala Negara Afrika dan pasukannya yang telah pun layak diiringi Burkina Faso ke pusingan kedua awal pagi tadi.

Penyerang berpangkalan di Arab Saudi itu yang berusia 30 tahun Sabtu lalu meletakkan Cameroon di depan tetapi pemain gantian Garry Rodrigues menyamakan kedudukan buat Cape Verde pada babak kedua untuk keputusan 1-1 di Yaounde.

Burkina Faso mendahului perlawanan menerusi jaringan Cyrille Bayala namun Getaneh Kebede meledak gol penyamaan untuk Habsyah dalam satu lagi aksi berakhir 1-1 sekali gus membolehkan pasukannya mara.

Cameroon mendahului carta kumpulan dengan tujuh mata. Burkina Faso memintas Cape Verde di tempat kedua berdasarkan rekod pertemuan selepas kedua-dua pasukan meraih empat mata. Habsyah tersingkir dengan hanya satu mata.

Ketika Cameroon dan Burkina Faso mengesahkan tempat ke saingan 16 terakhir, Cape Verde perlu menunggu untuk mara sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik daripada enam kumpulan.

Cameroon kekal di Yaounde untuk aksi menentang pasukan ketiga terbaik dalam kumpulan pada 24 Januari sehari selepas Burkina Faso menentang naib juara Kumpulan C di Limbe.

Aboubakar muncul pemain pertama Cameroon yang menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat Kumpulan di Kejohanan Piala Negara Afrika sejak Samuel Eto'o melakukannya dengan lima jaringan pada pusingan akhir 2008 di Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:26 AM