MAHREZ (kanan) berebut bola dengan pemain Kenya, Abdo Omar (kiri) di Stadium 30 Jun, Kaherah awal pagi tadi. —  FOTO EPA
MAHREZ (kanan) berebut bola dengan pemain Kenya, Abdo Omar (kiri) di Stadium 30 Jun, Kaherah awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

KAPTEN Riyad Mahrez menyumbang satu gol membantu Algeria menang selesa 2-0 ke atas pasukan bukan pilihan Piala Negara Afrika, Kenya pada aksi pertama mereka di Kaherah, awal pagi tadi.

Algeria pernah menjulang trofi itu hanya sekali di laman sendiri pada 1990 namun mereka tampil sebagai antara pasukan berpotensi muncul juara di Mesir dan bergantung harap kepada bekas pemain terbaik tahunan Afrika dan pemain sayap Manchester City, Mahrez.

Penyerang prolifik Baghdad Bounedjah meletakkan Algeria di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 dan Mahrez menambah gol kedua dua minit sebelum rehat pada perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium 30 Jun.

Sudah hampir sedekad berlalu sejak kali terakhir Algeria melakukan impak, layak ke separuh akhir pada 2010 dan suasana serta cuaca di negara Afrika utara itu memudahkan pasukan yang dijangka mampu mara lebih jauh.

BOUNEDJAH (kiri) meledak gol pertama Algeria menerusi sepakan penalti. — FOTO EPA
BOUNEDJAH (kiri) meledak gol pertama Algeria menerusi sepakan penalti. — FOTO EPA

“Tidak pernah mudah untuk memenangi perlawanan pertama mana-mana kejohanan. Apatah lagi, kami sering kali berdepan kesukaran untuk memulakan aksi Piala Negara Afrika,” kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.

“Selalunya kami seri atau kalah jadi ini satu mesej penting terhadap pemain, jika mereka mahu peluang besar untuk melepasi pusingan pertama kami perlu memenangi perlawanan ini.”

Jurulatih Kenya, Sebastien Migne berkata, beliau kecewa dengan permulaan hambar pasukannya.

“Pemain kami takut dan malangnya kami tidak bermain. Saya tidak kisah kalah tapi tidak dengan cara sebegini. Saya langsung tidak mengenali pasukan saya pada awalnya,” katanya.

“Jika anda takut, lebih baik jangan bertanding pada kejohanan sebegini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:15 AM