Mae Chan berharap gabungan tiga jurulatih dapat memantapkan lagi skuad terjun negara. FOTO NSTP.
Mae Chan berharap gabungan tiga jurulatih dapat memantapkan lagi skuad terjun negara. FOTO NSTP.
Aida Adilah Mat 


KUALA LUMPUR: Selepas kehilangan Zhang Yakun, Li Rui dipilih menjadi jurulatih baharu untuk memacu skuad terjun negara menghadapi kelayakan ke temasya Olimpik Tokyo 2020.

Berusia 41 tahun Li Rui sebelum ini pernah mengendalikan salah sebuah kelab di Kanada selain melatih juara dunia, Si Yajie dan Qin Kai ketika zaman remaja mereka, akan bergandingan bersama-sama Li Teng dan Christian Brooker melatih skuad terjun negara.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan memaklumkan perkara itu selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mesyuarat jawatankuasa kerja yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mae Chan berharap gabungan tiga jurulatih itu akan dapat memantapkan lagi skuad terjun negara dalam memburu emas pertama di temasya Olimpik Tokyo nanti.

"Li Rui dipilih berdasarkan pengalaman beliau. Beliau pernah melatih Si Yajie, Qin Kai selain bekas jurulatih negara Zhao Wei juga pernah mendapat tunjuk ajar daripada beliau.

"Li Rui akan diberi tanggungjawab untuk membimbing skuad senior negara dan bagaimanapun tiada istilah ketua jurulatih buat ketika ini.

"Saya mengharapkan ketiga-tiga jurulatih ini, Li Rui, Li Teng dan Brooker dapat bergabung tenaga menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada untuk membantu atlet terjun negara ke tahap lebih tinggi," katanya yang memaklumkan Li Rui akan tiba di negara ini selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina Februari nanti.

Kehadiran Li Rui diharap dapat membantu melebarkan lagi penguasaan skuad terjun negara yang cemerlang di sepanjang Siri Terjun Dunia tahun lalu.

2018 adalah tahun gemilang buat skuad terjun negara yang buat pertama kali merangkul pingat sepanjang empat siri terjun dunia.

Antara sebab itu kepakaran Zhang Yakun dituntut semula oleh China yang mahu mendapatkan kembali khidmatnya.

Mengulas mengenai hala tuju 2019, Mae berkata buat ketika ini fokus utama penerjun adalah Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Korea 12 hingga 28 Julai ini.

"Untuk layak ke Olimpik saya rasa tiada masalah buat penerjun negara.  Namun jumlah bilangannya saja belum pasti.

"Biarpun banyak perkara berlaku sepanjang 2018 tapi fokus penerjun negara tetap sama dan sekarang mereka perlu bagi tumpuan kejohanan dunia terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:19 PM