Jun Hoong beraksi pada saingan kelayakan 3m papan anjal Sukan Olimpik Rio 2016. FOTO File NSTP
Jun Hoong beraksi pada saingan kelayakan 3m papan anjal Sukan Olimpik Rio 2016. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


DUA perkara yang membelenggu atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong untuk mencari peluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu ujian pemilihan atlet dan Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA.

Sehingga kini masih belum ada pengesahan Kejohanan Piala Dunia yang akan dilangsungkan di Tokyo dari 21 hingga 27 April depan akan diteruskan atau tidak susulan penularan wabak koronavirus yang semakin meningkat di negara berkenaan.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata mereka akan membawa Jun Hoong yang juga juara dunia 2017 pulang ke Malaysia dari China sekiranya kejohanan yang menjadi medan terakhir layak ke Olimpik itu diteruskan.

"Buat masa sekarang kami belum pasti bila akan membawa dia pulang. Kami masih lagi menunggu pengesahan daripada FINA sama ada Piala Dunia akan diteruskan atau sebaliknya. Dia akan meneruskan latihan seperti biasa di China.

"Saya dimaklumkan dia berada dalam keadaan baik dan yang paling penting dia selamat di sana," kata Mei Chen ketika ditemui media di Mesyuarat Bedah Siasat Sukan Sea 2019 Filipina.

Beliau berkata, cabaran ASUM ketika ini mengadakan ujian pemilihan atlet negara ke Piala Dunia adalah mendapatkan khidmat juri antarabangsa.

"Dengan situasi sekarang ini, cabaran kami adalah mendapatkan juri dari luar negara. Ini kerana, kebanyakan negara tidak melepaskan juri mereka untuk ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 9:02 PM