ADAM tidak menyertai perlumbaan akhir bagi menjalani pembedahan susulan kecederaannya. FOTO/NSTP
ADAM tidak menyertai perlumbaan akhir bagi menjalani pembedahan susulan kecederaannya. FOTO/NSTP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Adam Norrodin sah tidak menyertai perlumbaan akhir musim 2018 pada Grand Prix Valencia, 18 November ini bagi menjalani pembedahan susulan kecederaannya.

“Pada 13 November ini (Selasa depan), dia akan menjalani pembedahan di KLSMC (Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur). Dia akan menjalani pembedahan bahu dan mungkin juga di bahagian lututnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali.

Pada perlumbaan GP Malaysia Ahad lalu, Adam menamatkan perlumbaan di laman sendiri di tempat ke-23 selepas memulakan saingan dari laluan pit kerana dikenakan penalti.

Namun pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mampu menunjukkan semangat juang tinggi dengan pada satu ketika berada di kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh pada baki dua pusingan terakhir.

Pelumba berusia 20 tahun itu kemudian bangkit meneruskan perlumbaan dan menemui garisan penamat di tempat ke-23 meskipun kesakitan di bahagian bahunya yang mengalami retak dan koyak ligamen lutut sebelum ini masih dirasainya.

“Dia juga akan menjalani rawatan stem cell. Dia masih muda, harap dengan faktor usia dan stem cell ini, dia dapat pulih dengan lebih cepat.

“Apa yang saya dengar, selalunya 50 atau 40 peratus akan pulih dengan cepat (atas faktor usia dan stem cell). Jadi sebab itu kami fikirkan, Adam tak perlu menyertai pusingan akhir (di Valencia) nanti,” kata Razlan.

Kekosongan susulan ketiadaan Adam di Litar Ricardo Tormo juga memeningkan kepala Razlan untuk mencari pengganti sesuai bagi mengharungi pusingan terakhir musim itu tatkala pelumba daripada program SIC sendiri ‘Impian ke MotoGP’ begitu terhad ketika ini.

“Calon terdekatnya mungkin pelumba yang sudah biasa dengan motosikal seperti Adam iaitu (Muhammad) Izam Ikmal. Dia menunggang motosikal di CEV yang hampir sama dengan Adam gunakan (di Moto3).

“Mungkin... yang lain tak tahu sama ada pasukan akan lepaskan mereka atau tidak. Bila hadapi situasi sebegini, kami ada masalah kerana pelapis tak mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:34 AM