Adam lupakan kesakitan patah bahu dan koyak ligamen lutut. FOTO HM Digital/LUQMAN HAKIM ZUBIR/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Adam lupakan kesakitan patah bahu dan koyak ligamen lutut. FOTO HM Digital/LUQMAN HAKIM ZUBIR/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Sekiranya ada gelaran pelumba tempatan terbaik di Grand Prix (GP) Malaysia Ahad lalu, pastinya status itu menjadi milik Adam Norrodin.

Beraksi dalam keadaan sakit dan bermula dari laluan pit sememangnya satu ‘bala’ buat insan normal tetapi pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu tetap mempamerkan tunggangan menarik sebelum menamatkan saingan di tangga ke-23.

Adam melupakan kesakitan patah di bahagian bahu dan koyak ligamen lutut dialaminya dan pada satu ketika berada dalam kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh pada baki dua pusingan terakhir dan kembali bangkit untuk menamatkan saingan di laman sendiri.

Semangat pelumba berusia 20 tahun itu didorong oleh didikan diberikan ayahnya, Norrodin Jalil sejak kecil lagi - berpegang kepada prinsip ‘hidup jangan ada putus asa, hidup satu perjuangan dan hidup perlu kuat bukan pada tenaga saja tetapi di hati dan mental.’

Bagaimanapun, selepas pusingan di Malaysia, Adam masih mempunyai satu lagi perlumbaan di GP Valencia yang juga terakhirnya di Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia sebelum beralih ke Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV), musim depan.

Berdasarkan kecederaannya yang semakin parah, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menasihati Adam supaya menjalani pembedahan lebih awal sebagai langkah persiapan ke CEV dan pelumba itu mungkin tidak akan ke Sirkit Ricardo Tormo, 18 November ini meskipun masih mahu menyertainya.

“Saya bangga dengan Adam dan dia berlumba dalam keadaan fizikal yang tak baik (sakit). Kami menghantar dia ke pusat perubatan sukan Selasa lalu, dia memang mengalami patah bahu dan masalah ligamen di kakinya.

“Dia berlumba (di Sepang) dalam keadaan sakit dan memerlukan ubat penahan sakit. Jadi kami membuat keputusan supaya dia tak berlumba di Valencia tetapi dia ketika ini seperti masih belum pasti.  

“Saya berkata kepadanya supaya fikir betul-betul dan kita akan buat keputusan sama ada nak letak (beraksi di Valencia) atau tidak.

“Kami mahu dia menjalani pembedahan minggu ini juga kerana dia dijangka pulih antara enam hingga sembilan bulan,” kata Razlan.

Sementara itu, Norrodin, 53, juga mengharapkan anaknya yang mempunyai gelaran ‘Torete’ di Sepanyol dapat menjalani pembedahan secepat mungkin bagi membolehkan Adam kembali cergas tepat pada masanya sebelum menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah nanti.

“Saya harap, dia dihantar segera ke pusat perubatan dan pulihkan fizikalnya supaya dapat meneruskan kariernya nanti.

“Kami bukan memikirkannya untuk hari ini tetapi jangka panjang. Kalau dia cepat menjalani pembedahan, pulihkan badannya dan ke CEV, dia akan kembali pada saingan Moto2 (Kejuaraan Dunia) pada masa akan datang,” kata Norrodin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 4:41 PM