ADAM Norrodin. FOTO Arkib NSTP
ADAM Norrodin. FOTO Arkib NSTP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin bakal memulakan perlumbaan di petak ke-18 pada Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, esok.

Pada sesi kelayakan hari ini, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mencatatkan masa sepusingan 1 minit 27.237 saat (s), manakala Jorge Martin (Del Conca Gresini Moto3) menempah petak pertama dengan catatan terpantas, 1'26.434s.

Ini adalah kali kelima pelumba Sepanyol itu menyambar petak pertama bermula dari GP Amerika Syarikat hingga Itali dan yang terbaru di Belanda, dua minggu lalu.

Martin kini mendahului carta keseluruhan Moto3 dengan 105 mata selepas lapan pusingan musim ini, manakala Adam berada di tangga ke-21 dengan 19 mata.

Marcos Ramirez dari Bester Capital Dubai pula muncul kedua terpantas dengan catatan 1'26.494s manakala Enea Bastianini (Leopard Racing) melengkapkan barisan depan (1'26.499s).

Rakan sepasukan Adam dari Jepun, Ayumu Sasaki pula bakal memulakan perlumbaan 27 pusingan esok dari petak kesembilan selepas mencatat 1'26.827s.

Melengkapkan barisan ketiga perlumbaan bersamanya nanti ialah John McPhee (CIP - Green Power) dan Marco Bezzecchi (Redox PruestelGP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 9:18 PM