ADAM beraksi bersama SIC Junior ZK Racing.
ADAM beraksi bersama SIC Junior ZK Racing.
Saiful Affendy Sapran

SELEPAS tiga bulan tidak beraksi pada saingan kompetitif berikutan kecederaan bahu dan lutut, pelumba Supersports 600cc, Adam Norrodin tetap meletakkan sasaran tinggi untuk menaiki podium pada penampilan pertamanya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Pelumba yang pernah beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia selama tiga musim dalam kategori Moto3 itu berkata, ia bukanlah sasaran mustahil untuk dicapai meskipun tahap kecederan masih belum pulih sepenuhnya.

Kali terakhir Adam beraksi di saingan kompetitif adalah pada Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu sebelum terjatuh ketika perlumbaan yang kemudian menyaksikannya perlu menjalani pembedahan di bahu dan lutut.

"Sebenarnya doktor tidak sarankan untuk saya berlumba. Tapi dengan bantuan fisioterapi disediakanSIC (Litar Antarabangsa Sepang), ia banyak membantu proses pemulihan saya.

"Saya rasa ia sasaran mampu dicapai. Saya juga berharap dapat bersaing untuk merebut kejuaraan keseluruhan bagi musim ini," katanya.

Jelas Adam yang beraksi bersama pasukan SIC Junior ZK Racing, hanya satu yang perlu dielakkannya pada perlumbaan hujung minggu ini.

"Saya harap tidak terjatuh atau terbabit dengan kemalangan. Jika tidak ia akan menjejaskan kecederaan saya," katanya.

Adam yang melakar masa keenam terpantas selepas dua hari ujian pramusim juga berharap pengalaman beraksi di Moto3 dapat membantunya merealisasikan impian menaiki podium hujung minggu ini.

"Memang ada perbezaan antara jentera Moto3 dengan 600cc tetapi dengan pengalaman beraksi di Sepang sebelum ini ia diharap dapat membantu saya pada perlumbaan sebenar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:35 PM