PELUMBA Moto3 Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PELUMBA Moto3 Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Adam Norrodin mengucapkan 'selamat tinggal' kepada saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia dan tidak akan menyertai pusingan penutup tirai 2018 di Grand Prix (GP) Valencia minggu depan bagi menjalani pembedahan bahu dan lututnya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu bakal beraksi di Kejuaraan Moto2 Eropah musim depan dan kelibatnya di GP Malaysia hujung minggu lalu adalah yang terakhir selepas tiga musim menyertai perlumbaan berprestij itu.

Adam dijadual menjalani pembedahan bahu di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Selasa ini oleh Doktor Saw Khay Yong dan dalam tempoh enam minggu kemudian melakukan pembedahan kedua di bahagian lututnya.

"Keputusan sukar untuk tidak beraksi di Valencia, tetapi pada akhirnya saya perlu memikirkan masa depan dan kesan jangka panjang sekiranya melambatkan pembedahan," kata Adam.

"Saya sangat sedih menamatkan karier Moto3 sebegini, saya sangat menikmati masa bersama pasukan dan saya mahu melihat mereka untuk kali terakhir dan menamatkan saingan dengan keputusan yang baik.

"Selepas perlumbaan di Malaysia, saya sangat bermotivasi untuk ke Valencia, tetapi pada akhirnya perlu memikirkan masa depan dan memastikan fizikal saya bersedia untuk perlumbaan akan datang.

"Fokus saya sekarang adalah untuk tahun depan dan beraksi dalam Moto2 (Eropah), jadi saya mahu cergas 100 peratus serta bersedia memulakan babak baharu untuk 2019.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan di Valencia nanti - saya akan melihat dan menyokong mereka dari rumah. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sokongan diberikan dan saya tidak sabar untuk bertemu mereka lagi nanti."

Pada GP Malaysia di Sepang Ahad lalu, Adam menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila pada satu ketika berada di kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh pada baki dua pusingan terakhir perlumbaan.

Dia bagaimanapun bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tangga ke-23 selepas memulakan saingan dari laluan pit kerana dikenakan penalti.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 8:39 PM