ADAM NORRODIN
ADAM NORRODIN
Sukhairi Thani

 

KUALA LUMPUR: Adam Norrodin mengakui dirinya semakin ‘tenang’ selepas dimaklumkan mengenai hala tuju tahun depan dan ia menjadi faktor utama kepada peningkatan prestasi dirinya. 

Sebaik saja diumumkan akan beraksi di Kejuaraan Motosikal Moto2 Eropah untuk musim 2019 ketika di Grand Prix (GP) British, Ogos lalu, Adam lebih kerap berada dalam kelompok 15 terbaik dalam lima pusingan selepas itu kecuali di GP Jepun yang menyaksikan dirinya menemui garisan penamat ke-19.

“Pada perlumbaan sebelum ini terutamanya selepas pengumuman yang saya tidak akan sambung tahun depan, fikiran saya agak tenang kerana tahu di mana tempat saya bagi tahun depan. 

“Daripada situ, saya agak yakin untuk menamatkan musim ini,” kata Adam yang menamatkan GP Australia minggu lalu di tempat ketujuh - penamat kedua terbaiknya selepas kelima di GP Argentina, April lalu. 

Dengan berbaki dua lagi pusingan di GP Malaysia minggu ini dan Valencia pada 18 November, Adam kini berada di tangga ke-20 keseluruhan dengan 46 mata. 

“Kali ini (GP Malaysia) adalah terbesar berbanding dua tahun lalu, jadi gementar itu sentiasa ada pada setiap tahun kerana harapan yang diletakkan agak tinggi. 

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik pada minggu ini,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing berusia 20 tahun dari Batu Pahat, Johor itu. 

Adam dijadual menyertai Kejuaraan Motosikal Moto2 Eropah musim depan selepas mula menyertai kelas Moto3 pada tahun 2016. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 11:24 AM