DEMBELE (dua dari kanan) jaring gol kedua Barcelona. -Foto REUTERS
DEMBELE (dua dari kanan) jaring gol kedua Barcelona. -Foto REUTERS

MADRID: Gol di hujung permainan oleh Ousmane Dembele dan Luis Suarez membolehkan penyandang juara La Liga, Barcelona mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan sedang bergelut, Rayo Vallecano awal pagi tadi untuk membolehkan mereka kekal di tangga teratas.

Suarez menolak masuk hantaran jarak dekat Jordi Alba untuk membolehkan Barca mendahului pada minit ke-11 selepas mereka dilihat tenang memulakan aksi di gelanggang yang mereka mudah mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini dan tidak pernah tewas sejak 2002.

Bagaimanapun, Rayo yang menduduki tempat ke-19 dalam liga dengan hanya mencatat satu kemenangan, kembali bangkit dan pemain tengah, Jose Pozo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35.

Pemain sayap Rayo, Alvaro Garcia menghadirkan kegembiraan buat penyokong tuan rumah pada awal separuh masa kedua selepas dia menampan masuk bola lantunan dari penyerang, Raul de Thomas yang melakukan tandukan terbang.

Barca tidak mahu sejarah berulang apabila mereka kalah mengejut 1-2 di Madrid ketika menentang Leganes dua bulan lalu, di mana ketika itu juga mereka mendahului permainan dan The Catalans mengubah taktik mereka dengan meletakkan pertahanan, Gerard Pique di bahagian depan, seterusnya secara kerap melakukan hantaran lintang ke dalam petak penalti lawan.

Pemain gantian, Dembele menceriakan Barca apabila sepakan separa volinya pada minit ke-87 selepas mendapat hantaran pendek dari Pique menerjah masuk ke dalam jaring.

Suarez yang meledak hatrik minggu lalu ketika berdepan Real Madrid, melengkapkan kebangkitan Barca tiga minit kemudian apabila menyempurnakan hantaran lintang Sergi Roberto dan ia adalah gol kelimanya dalam dua perlawanan. Pasukan bimbingan Ernesto Valverde mendahului kedudukan liga dengan 24 mata, empat mengatasi Atletico Madrid.- REUTERS

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 7:55 AM