RAHEEM STERLING
RAHEEM STERLING
AFP

LONDON: Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling menyatakan persetujuan secara lisan untuk menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Sterling berjaya mempertingkatkan aksinya sebagai salah seorang pemain terbaik England sejak menyertai City dari Liverpool pada 2015 dan dipercayai akan memperoleh gaji baru dua kali ganda.

Pemain berusia 23 tahun ini, yang kontraknya akan berakhir pada 2020, dilaporkan akan menerima sekitar 300,000 pound (RM1.6 juta) seminggu selepas dia menandatangani kontrak baru, sekali gus menjadikannya antara pemain England memperoleh gaji paling tinggi.

 Sterling memainkan peranan utama di City termasuk mencipta rekod ketika meraih kejuaraan liga musim lalu dan ketika ini dia sudah meledak empat gol dalam lapan penampilan di EPL.

 Masa depannya di kelab berkenaan menjadi topik hangat sejak bermula awal musim ini.

 Jurulatih, Pep Guardiola, yang berjaya memperoleh Sterling pada prestasi terbaik ketika di Stadium Etihad, berkata Ogos lalu sebelum Perisai Komuniti menentang Chelsea bahawa City tidak ragu-ragu untuk cuba mengekalkannya.

 Gurdiola menyerahkan situasi berkenaan kepada wakil Sterling dan pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain dan rundingan berkenaan sudah berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 10:28 AM