RAHEEM Sterling menjaringkan 131 gol daripada 339 perlawanan serta memenangi empat gelaran EPL sepanjang tujuh tahun bersama Manchester City. FOTO AFP
RAHEEM Sterling menjaringkan 131 gol daripada 339 perlawanan serta memenangi empat gelaran EPL sepanjang tujuh tahun bersama Manchester City. FOTO AFP
Agensi

London: Raheem Sterling mengesahkan perpisahan dengan Manchester City dan menyatakan dia meninggalkan kelab itu sebagai seorang lelaki.

Perpindahan bernilai £50 juta (RM263.38 juta) pemain berusia 27 tahun itu ke pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dijangka diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Penyerang England itu menyampaikan mesej perpisahan menyentuh hati kepada bekas rakan sepasukan dan staf kelab menerusi akaun media sosialnya.

"Saya datang ke Manchester ketika berusia 20 tahun, hari ini saya meninggalkan pasukan sebagai seorang lelaki," kata Sterling.

"Tujuh musim, 11 trofi utama, kenangan seumur hidup."

City menandatangani Sterling dari Liverpool menerusi perjanjian £49 juta (RM258.11 juta) pada 2015.

Dia menjaringkan 131 gol daripada 339 perlawanan serta memenangi empat gelaran EPL.

Memiliki 77 cap bersama England, Sterling menjadi pemain utama pertama ditandatangani Chelsea sejak diambil alih oleh Todd Boehly.

Sterling kini dikaitkan dengan skuad Chelsea yang akan berlepas untuk jelajah pra musim di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 9:33 PM