HAFIZH SYAHRIN
HAFIZH SYAHRIN
Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Abdullah Harun mahu Hafizh Syahrin terus mengejar impiannya bergelar pelumba muka baharu terbaik MotoGP, dengan sokongan padu rakyat Malaysia bakal diterima anaknya di Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bermula esok.

Hafizh ketika ini ketinggalan 12 mata dalam carta muka baharu terbaik di belakang pendahulu dari Itali, Franco Morbidelli dan pelumba Monster Yamaha Tech3 itu hanya mempunyai baki dua pusingan musim - di GP Malaysia dan Valencia - bagi mengejar impiannya.

“Saya harap dia dapat kumpul mata sebanyak mungkin untuk mengejar impian dia menjadi pelumba muka baharu terbaik. Saya harap peminat motosikal tempatan dapat memberi sokongan kepada pelumba Malaysia nanti,” kata Abdullah.

“Dia amat mengimpikan gelaran muka baharu terbaik. Itu yang membuatkan dia bersemangat lebih untuk mengejar impiannya. Sekarang ketinggalan 12 mata. Itu yang dia kejar dan dia akan kejar apa yang diimpikannya sebelum ini.”

Selain Hafizh yang beraksi dalam kelas perdana MotoGP, skuad negara musim ini lengkap menyerti ketiga-tiga kelas dipertandingkan dengan dibarisi pelumba IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi (kelas Moto2) dan Adam Norrodin, Moto3 (PETRONAS Sprinta Racing).

Sementara itu, ramalan cuaca di Litar Antarabangsa Sepang pada minggu ini dilaporkan hujan dan sekiranya tepat, ia secara tidak langsung menyediakan cabaran baharu buat Hafizh sendiri.

Abdullah berkata, anaknya yang diberi gelaran ‘Pescao’ itu kini lebih selesa beraksi di atas permukaan trek kering namun percaya dia mampu memberikan persembahan yang baik seandainya hujan membasahi litar Sepang.

“Daripada situasi ketika ini, dia berminat dengan litar kering tetapi sekiranya ditakdirkan hujan, dia akan cuba sebaik mungkin untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 12:44 PM