JORGE LORENZO
JORGE LORENZO
Agensi

MOTEGI, Jepun: Jorge Lorenzo berdepan dilema selepas ujian imbasan menjelang Grand Prix Jepun hujung minggu ini menyaksikan dia mengalami patah pergelangan tangan kiri.

Pelumba Ducati itu terjatuh berikutan masalah teknikal pada sesi latihan bebas kedua di Thailand selepas mengalami kecederaan kaki ketika perlumbaan sebelumnya di Aragon.

Penunggang Sepanyol itu pada asalnya dilihat hanya mengalami keretakan kecil dan tidak beraksi di perlumbaan sebenar dengan harapan dapat kembali cergas sepenuhnya di Motegi.

Bagaimanapun susulan kesakitan berpanjangan, ujian imbasan terbaru menunjukkan pergelangan tangan kirinya patah berikutan tekanan ketika menunggang.

“Saya melakukan ujian imbasan dan sekarang nampaknya ia patah,” kata Lorenzo.

Dia bagaimanapun berkata, akan cuba untuk beraksi pada sesi latihan bebas bermula esok namun masih tidak pasti sama ada dapat beraksi pada perlumbaan hujung minggu ini.

“Esok saya akan cuba untuk menunggang jentera dan lihat apa yang saya rasa. Secara jujur perasaan saya tidak bagus.

“Apa pun kita lihat saja nanti apa yang berlaku apabila saya menunggang jentera,” katanya.

 GP Australia dan Malaysia akan berlangsung selepas itu.

Lorenzo berkata, berita yang positif adalah kecederaan retak kaki di Aragon semakin bertambah baik berbanding dua minggu lalu.

Lorenzo sudah memenangi tiga perlumbaan bersama Ducati musim ini tetapi kini tergelincir ke tangga kelima kejuaraan pelumba selepas gagal meraih sebarang mata dalam tiga pusingan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 9:25 PM