MANE jalani pembedahan tangan. FOTO/AGENSI
MANE jalani pembedahan tangan. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Penyerang Liverpool Sadio Mane menjalani pembedahan tangan selepas mendapat kecederaan ketika tugasan antarabangsa bersama pasukan Senegal, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Mane terlepas aksi kemenangan 1-0 Senegal ke atas Sudan dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika Selasa lalu dan menyertai senarai pemain Liverpool yang mengalami kecederaan menjelang kunjungan mereka ke Huddersfield Town Sabtu ini.

“Liverpool Football Club mengesahkan Sadio Mane menjalani prosedur pembedahan hari ini bagi merawat kecederaan tangan yang dialami ketika bersama pasukan kebangsaan Senegal,” kata Liverpool.

“Pembedahan berkenaan dipantau oleh pasukan perubatan kelab dan ia selamat dijalankan. Pemulihan Mane akan dipantau sepanjang beberapa hari ini.”

Pemain tengah Liverpool, Naby Keita terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot ketika Guinea seri 1-1 menentang Rwanda pada Selasa, manakala penyerang Mohamed Salah pula mengalami kecederaan ketika Mesir menewaskan eSwatini (Swaziland) 4-1 di Kaherah, Jumaat lalu.

Pemain pertahanan Virgil van Dijk pula diketepikan daripada skuad Belanda yang seri 1-1 dengan Belgium dalam perlawanan persahabatan kerana masih merasai kesan daripada kecederaan rusuk ketika kelabnya menentang Southampton, bulan lalu.

Liverpool yang kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana berpeluang melebarkan rekod tanpa kalah mereka musim ini di Huddersfield. Anak buah Juergen Klopp bakal melayan kunjungan Red Star Belgrade dalam aksi Liga Juara-Juara minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 10:31 AM