Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa. FOTO Agensi
Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa. FOTO Agensi
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) komited dengan perkembangan teknologi bola sepak apabila bakal memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di temasya Piala Asia 2019 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal tahun hadapan.

Perkembangan itu diumumkan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menerusi satu kenyataan di laman rasmi AFC, semalam.

Penggunaan VAR pada temasya itu diluluskan Jawatankuasa Eksekutif AFC selepas selesai perbincangan bersama Bahagian Pertandingan dan Pengadil AFC susulan kelulusan yang diberikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

Sheikh Salman berkata, AFC bersedia menggunakan teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti permainan dan pengenalannya akan dibuat pada kemuncak pertandingan AFC iaitu di pentas Piala Asia 2019.

“Kami mula melihat penggunaan VAR pada aksi Piala Dunia 2018 di Russia dan jelas bahawa banyak latihan dan pelaburan diperlukan bagi memastikan sistem itu efektif dan memberi nilai tambah yang positif terhadap permainan.

“Kami gembira dengan sokongan diberikan FIFA dan IFAB, jadi saya sudah meminta bahagian pentadbiran supaya segala apa yang diperlukan dapat disediakan untuk memperkenalkan VAR pada kejohanan itu,” katanya.

Kejohanan terbesar di benua Asia itu akan mula membuka tirainya pada 5 Januari yang menyaksikan UAE menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.

Kali terakhir UAE menjadi tuan rumah kejohanan itu adalah pada 1996 dan 24 pasukan daripada lima wilayah AFC akan mengambil bahagian pada edisi kali ini bagi merebut wang kejuaraan bernilai US$14.8 juta (RM61 juta) serta trofi dan bola rasmi perlawanan, Molten.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 5:26 PM