TONY FERNANDES
TONY FERNANDES
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Pencapaian dan pengalaman tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes menjadi faktor beliau dipilih bagi mengisi kekosongan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

“Pembabitan serta kejayaan beliau dalam bidang komersial, termasuk industri penerbangan (AirAsia), hiburan (Warner Music), perhotelan (Tune Hotels), penyiaran (The Apprentice Asia) adalah sebahagian daripada pencapaian beliau yang amat membanggakan hingga ke hari ini, menjadikan beliau sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan ini.

“Bakat keusahawanan, kreativiti dan kepimpinan beliau ternyata cukup terserlah dan ini dapat dilihat melalui anugerah yang diraih beliau termasuklah “CEO of The Year Award” dan “Entrepreneur of the Year Award”,” menurut kenyataan Pejabat Menteri Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Tony bertanggungjawab melakukan penambahbaikan struktur dan operasi PSM serta memulihkan keadaan kewangan semasa PSM yang kini mengalami kerugian sebanyak RM11 juta.

“Pelantikan beliau diharap dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang membabitkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas, bukan saja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membentuk budaya aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya belia,” menurut kenyataan itu lagi.

Nama Tony dalam bidang sukan juga bukan asing apabila beliau menjadi individu yang memiliki sebahagian daripada kelab yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris iaitu Queens Park Rangers (QPR) selain pengasas pasukan Formula 1, Caterham F1 Team.

“Beliau amat mahir mengenai selok-belok pembangunan dan promosi sukan bertaraf antarabangsa. Penajaan AirAsia dalam aktiviti sukan tanah air seperti Akademi Badminton AirAsia serta pertandingan e-sports juga bukti beliau mempunyai minat mendalam untuk menaikkan mutu sukan negara.”

Bulan lalu, 11 ahli lembaga pengarah lantikan politik di bawah KBS ditamatkan perkhidmatan termasuk pengerusi PSM sebelum ini, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:03 PM