Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kesatuan Bolasepak Kyrgyz (KFU) dan Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF) secara rasmi menjadi ahli gabungan terbaharu yang diluluskan sebagai anggota penuh Skim Belia Elit AFC.

Untuk makluman, FAM pada 14 April lalu sudah menerima surat daripada AFC berhubung kelulusan berkenaan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul dalam surat berkenaan menyatakan, FAM diberikan status keahlian penuh Skim Belia Elit AFC manakala akademi bola sepak negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menjalankan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) diberikan penarafan 2-Bintang bagi skim berkenaan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui gembira dengan pengiktirafan itu yang menunjukkan bahawa segala usaha badan induk itu di peringkat pembangunan pada tahap terbaik.

“Kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan bola sepak belia dan Skim Belia Elit AFC ini menyediakan kami struktur yang tepat untuk diikuti.

"Kami gembira dapat diterima sebagai ahli penuh dan berbangga salah satu akademi bola sepak tertinggi di Malaysia mendapat status dua bintang.

"Terdahulu pada 5 Mac lalu, FAM menerima kunjungan delegasi AFC untuk proses penilaian bagi permohonan itu dengan Timbalan Pengarah Teknikal AFC merangkap Ketua Pembangunan Pemain AFC, Laszlo Szalai dan Ahli Panel Belia AFC, Chan Yuen Ting disambut kehadiran mereka oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM.

Skim Belia Elit AFC ini adalah langkah utama dalam pembangunan bakat yang akan membantu Ahli-Ahli Gabungan AFC untuk mengembangkan lagi program peringkat belia di negara masing-masing.

Antara kriteria yang akan dinilai termasuk mengenai staf, perancangan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan, pendidikan & kebajikan, kemudahan, falsafah dan akademi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:32 PM