PELUMBA MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Zunnur Al Shafiq
PELUMBA MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mahu mempamerkan aksi terbaik dan menggegarkan Litar Misano, Itali sempena Grand Prix (GP) San Marino 2018, Ahad ini selepas kecewa GP British terpaksa dibatalkan akibat hujan lebat dan cuaca buruk, minggu lalu.

Hafiz yang dikenali sebagai 'Pescao' berkata beliau amat kecewa apabila dimaklumkan perlumbaan di Litar Silverstone terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan selepas litar basah sepenuhnya.

"Saya berasa sedih dan sedikit kecewa kerana tidak dapat meneruskan perlumbaan di Silverstone kerana saya tidak pernah menempuhi pengalaman di mana MotoGP terpaksa dibatalkan akibat keadaan litar basah sepenuhnya dan boleh membahayakan pelumba.

"Bagaimanapun, fokus saya adalah terhadap perlumbaan di Litar Misano yang saya memang gemari dan banyak meninggalkan kenangan manis," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hafiz Syahrin berkata, beliau kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menjalani sesi latihan bebas sebagai persiapan menghadapi saingan GP San Marino.

"Saya bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh pada minggu lalu dan akan lebih fokus serta berharap semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Sebelum ini media melaporkan perlumbaan motosikal GP Britain dibatalkan berikutan hujan yang menyebabkan keadaan tidak selamat di trek.

Susulan hujan lebat sepanjang hujung minggu lalu perlumbaan MotoGP itu diawalkan dari jam 12 tengah hari waktu tempatan kepada jam 10.30 pagi bagi mengelak cuaca terbabit.

Namun hujan terus melanda pada sebelah pagi, memaksa penganjur menunda masa permulaan perlumbaan itu sebelum membatalkannya atas sebab keselamatan.

Selepas beberapa kali perlumbaan itu dijadual bermula dan kemudian ditangguhkan, satu mesyuarat membabitkan pegawai dan pasukan diadakan.

Mereka mencapai kata sepakat bahawa trek berkenaan tidak sesuai untuk pertandingan dengan risiko mungkin berlaku pada permukaan trek yang dibasahi hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 4:35 PM