PELUMBA Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin. FOTO PETRONAS Sprinta Racing
PELUMBA Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin. FOTO PETRONAS Sprinta Racing
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Dua pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin dan rakan sepasukannya Ayumu Sasaki, optimis mampu mempamerkan tunggangan terbaik bagi meraih mata di Grand Prix (GP) San Marino 2018, Ahad ini.

Malah, biarpun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang minggu ketika berlumba di Litar Misano tahun lalu, namun Adam tetap berfikiran positif dan percaya beliau mampu mempamerkan peningkatan dalam perlumbaan kali ini.

"Ia adalah fokus utama saya mulai Jumaat ini. Saya memang kecewa selepas tidak dapat meneruskan perlumbaan di Silverstone  minggu lalu, namun sekarang saya berasa amat teruja untuk berlumba di Litar Misano.

"Saya perlu mendapatkan sebanyak mungkin mata di Itali. Saya juga berharap dapat melakukan yang terbaik tahun ini dan  sesi latihan bebas satu (FP1) pada Jumaat ni," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Adam yang akan menyertai Kejuaraan Remaja Moto2 Eropah (CEV) tahun depan meluahkan kekecewaannya kerana GP British dibatalkan apatah lagi sesi dia mencatat masa positif pada sesi kelayakan dan bakal bermula daripada petak ke-15.

Sementara itu, Sasaki pula berkata beliau gembira kerana dapat kembali beraksi di Litar Misano selepas perlumbaan GP British dibatalkan atas faktor keselamatan akibat hujan lebat di Silverstone.

Sasaki berkata beliau berasa amat teruja untuk berlumba di Misano kerana mereka tidak berlumba selama dua minggu.

"Saya juga gembira dengan pengumuman dibuat di Silverstone minggu lalu bahawa saya akan terus kekal berlumba bersama pasukan ini, pada musim depan.

"Jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk setiap perlumbaan bagi membuktikan saya boleh buat dan melakukan lebih baik. Saya tahu banyak lagi kerja perlu dilakukan untuk tahun ini terutama bagi meningkatkan mutu tunggangan dan kekuatan mental ketika sesi latihan, jadi fokus utama sekarang untuk meningkatkan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 6:07 PM