PEMAIN Chelsea meraih kemenangan keempat. FOTO/AFP
PEMAIN Chelsea meraih kemenangan keempat. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Maurizo Sarri percaya barisan pemain Chelsea mampu melakukan kejayaan lebih baik selepas melakar kemenangan keempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Bournemouth 2-0 di Stamford Bridge, malam tadi.

Pengurus The Blues itu ketika aksi pra musim memberi amaran betapa anak buahnya bakal berdepan kesukaran dalam saingan awal liga terutama bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan baharu yang ingin diterapkannya selepas dia hanya dilantik sebulan sebelum kempen bermula.

Bagaimanapun, Chelsea dilihat tidak mengalami masalah apabila Pedro Rodriguez dan Eden Hazard meledak gol dalam tempoh 19 minit perlawanan sekali gus mengekalkan rekod sempurna pasukan itu dalam saingan peringkat awal dan memastikan mereka berada di kelompok teratas sebelum saingan berehat bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa.

Sarri berkata setakat ini dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya tetapi menegaskan dia mahu melihat peningkatan setiap masa.

"Buat masa sekarang saya gembira dengan prestasi pemain saya. Saya sangat gembira apabila pasukan berjaya mengumpul 12 mata dalam empat perlawanan tetapi saya selalu fikir kami boleh melakukan lebih baik lagi terutama dari aspek prestasi," kata Sarri.

Kemenangan ke atas skuad kendalian Eddie Howe yang menang dalam tiga perlawanan awal sebelum ini memberi petanda jelas harapan tinggi akan diletakkan kepada barisan pemain Chelsea bagi bergelar juara liga selepas sekadar menamatkan saingan musim lalu di tempat kelima.

Namun, Sarri enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu biarpun rekod sebelum ini membuktikan Chelsea berjaya menjadi juara liga selepas melakar kemenangan dalam empat perlawanan pertama.

"Saya fikir apa yang terbaik untuk kami sekarang adalah fokus kepada perlawanan seterusnya," katanya sebelum memberikan perspektif dengan menunjukkan bagaimana Chelsea ketinggalan di belakang Manchester City yang muncul juara musim lalu.

"Jurang pada permulaan saingan adalah 30 mata. Saya fikir adalah sukar untuk mengejarnya dalam tempoh satu musim. Saya gembira dengan prestasi dalam empat perlawanan setakat ini tetapi saya fikir lebih baik saya fokus kepada perlawanan seterusnya dan bukannya keputusan di hujung saingan."

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:42 AM