ABDUL Talib (kanan) memberi kata-kata semangat kepada skuad regu negara ketika beraksi menentang pasukan Nepal. -Foto BERNAMA
ABDUL Talib (kanan) memberi kata-kata semangat kepada skuad regu negara ketika beraksi menentang pasukan Nepal. -Foto BERNAMA
BERNAMA

PALEMBANG: Regu kebangsaan mudah mengatasi Nepal 2-0 pada aksi pembukaan acara antara regu dalam temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Dewan Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, regu Malaysia yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Muhammad Haffizi Abd Razak (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menang mudah pada set pertama dengan kiraan mata 21-1.

Percaturan Ketua Jurulatih Abdul Talib Ahmad yang memasukkan tekong utama, Mohammad Syahir Mohd Rosdi pada set kedua menambahkan lagi cengkaman kepada aksi skuad negara untuk mencatat kemenangan mudah 21-2 sekali gus memberikan kemenangan pertama skuad negara.

“Perlawanan hari ini memang sudah dijangkakan, kerana kita semua tahu Nepal masih baru dalam sukan sepak takraw ini dan ini bukanlah cabaran sebenar skuad negara lagi.

Pada set kedua, saya memasukkan Mohammad Syahir kerana ingin beliau beraksi bersama Muhammad Haffizi kerana sebelum ini pada acara regu berpasukan mereka tidak berada dalam regu yang sama, jadi ia lebih kepada mencari keserasian,” kata Abdul Talib kepada Bernama selepas tamat perlawanan.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, India dan Nepal.

Manakala pasukan tuan rumah, Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama Singapura, Filipina dan Pakistan.

Acara itu menjadi sasaran kontinjen Malaysia untuk menuai emas seterusnya bagi mencapai sasaran kutipan tujuh pingat emas seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 7:37 PM