NUR SYAZWANI SAHAR
NUR SYAZWANI SAHAR
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Biarpun fokusnya adalah untuk membantu pasukan negara beraksi cemerlang, Nur Syazwani Sahar mencipta kejutan apabila muncul Juara Remaja Dunia.

Semalam, pemain bowling berusia 19 tahun itu bukan saja membantu skuad remaja perempuan kebangsaan mara ke suku akhir di Detroit, Amerika Syarikat tetapi juga memenangi pingat emas acara perempuan keseluruhan.

Kemenangan itu juga gelaran utama sulung buat Syazwani, selepas menjuarai kategori remaja Terbuka Thailand pada 2015.

“Emas acara berpasukan adalah apa yang kami mahukan, saya benar-benar tidak menduganya,” kata Syazwani yang melakukan 267 jatuhan pin pada game terakhir untuk membantu Malaysia mara ke suku akhir dengan jumlah 5,005 jatuhan pin selepas 24 game.

Korea Utara muncul sebagai pilihan utama dengan 5,103 jatuhan pin, manakala Amerika Syarikat (4,987) dan Sweden (4,956) masing-masing di tangga ketiga dan keempat.

“Impian saya menjadi kenyataan. Saya kini juara remaja dunia!

“Matlamat kami adalah tumpukan terhadap satu frame dan setiap balingan pada setiap masa, Saya fokus terhadap perkara itu dan ia menjadi kerana kami mula selesa dan pin terus jatuh.

“Saya terkejut apabila diberitahu saya menang pingat emas. Saya hanya cuba yang terbaik untuk membantu pasukan berada dalam kelompok empat teratas,” kata Syzwani yang menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam acara perempuan keseluruhan selepas Esther Cheah pada 2006.

Syazwani yang pernah menyertai edisi sebelumnya di Nebraska, juga akan menjadi wakil tunggal negara dalam acara Masters perempuan, apabila rakan sepasukannya Gillian Lim, Nur Amirah Auni Azman dan Nurameera Husna Aznel gagal berada dalam kelompok 24 terbaik.

Sementara itu kuartet lelaki negara iaitu  Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Brandon Ting dan Shahrukh Amin Zulkifli menduduki tangga keenam, terlepas kelompok empat teratas dengan 21 pin.

Shahrukh dan Tun Hakim, bagaimanapun akan terus beraksi dalam acara Masters lelaki, selepas masing-masing menduduki tangga ke-20 dan 24.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 5:40 PM