PEARLY, Ee Wei akan beraksi di final menentang pasangan tuan rumah.
PEARLY, Ee Wei akan beraksi di final menentang pasangan tuan rumah.
Helmi Talkah

BEREGU wanita muda negara, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah bagi menjadi pasangan Malaysia pertama bergelar juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dalam acara itu apabila turun beraksi pada aksi final di Jakarta, Indonesia, esok.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan mengesahkan tempat ke final selepas mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Agatha Imanuela-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-15, 23-21 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Ee Wei akan menentang satu lagi pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto dalam aksi final, esok selepas mengejutkan pilihan pertama kejohanan dari China, Liu Xuanxuan-Yuting Xia 25-23, 14-21, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng optimis Pearly-Ee Wei dilandasan terbaik bagi merangkul gelaran juara berdasarkan pengalaman dimiliki anak didiknya itu apabila turun pada aksi final esok.

“Sebenarnya, pasangan Indonesia yang menjadi lawan Pearly-Ee Wei esok baru kali pertama bergandingan tetapi mereka menunjukkan prestasi yang konsisten sepanjang kejohanan kali ini termasuk menewaskan pilihan pertama dari China, Xuanxuan-Yuting hari ini. Jadi, Pearly-Ee Wei tidak boleh pandang mudah cabaran mereka.

“Apa pun, saya percaya pengalaman dimiliki Pearly-Ee Wei akan menjadi kelebihan untuk mereka pada aksi final esok. Diharapkan mereka boleh kekalkan prestasi dan menjadi juara,” kata Yoke Meng ketika dihubungi.

Sebagai rekod, sejak kejohanan diperkenalkan pada 1997, Malaysia tidak pernah muncul juara dalam acara beregu wanita dengan ia selama ini didominasi oleh pasangan dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:27 PM