MOHD Poad (kiri) bersama Khairul Hafiz. FOTO arkib NSTP
MOHD Poad (kiri) bersama Khairul Hafiz. FOTO arkib NSTP
Mohd Khairie Khalid


KUARTET 4x100 meter (m) lelaki negara perlu memberikan tumpuan berganda tatkala mereka masih gagal mendapatkan catatan di bawah 40 saat (s) ketika menyertai pertandingan yang berlangsung di Jerman.

Ia membuatkan jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim tidak ‘senang duduk’ ketika ini kerana tarikh menjelang Sukan Asia, Jakarta dan Palembang, Indonesia (18 Ogos - 2 September) semakin hampir.

Namun di sebalik kegusaran berkenaan, jurulatih berkenaan yang memantau perkembangan atlet di sini, menaruh harapan agar perkembangan positif dapat direkodkan dalam pertandingan yang dijadual minggu depan.

“Saya tak tahu apa yang membelenggu mereka di sana kerana kalau ikutkan catatan masa dalam acara 100m, sepatutnya tidak ada masalah untuk mereka mencatatkan larian di bawah 40s.

“Tapi mereka tidak boleh cepat kecewa tetapi kena berikan tumpuan 200 peratus untuk acara lari berganti-ganti ini. Bukan apa, acara ini saja yang mudah untuk layak ke Sukan Asia.

“Saya harap mereka dapat menunjukkan peningkatan dalam pertandingan yang akan berlangsung pada 25 Julai ini (Rabu),” kata Mohd Poad, ketika dihubungi, hari ini.

Pada pertandingan yang berlangsung di Jerman lewat malam semalam, skuad 4x100m negara dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan menamatkan saingan di kedudukan pertama dengan kepantasan 40.19s, jauh daripada rekod kebangsaan serta catatan masa yang perlu dilakukan iaitu 39.08 saat untuk membolehkan layak ke Sukan Asia dalam kategori A.

Tempat kedua, ketiga dan keempat menjadi milik Jerman.

Sementara itu, dalam acara pecut 100m, Jonathan dan Zulfiqar mengungguli tempat pertama dan kedua, masing-masing dengan catatan masa 10.46s dan 10.52s dalam final B. Khairul Hafiz pula sekadar menamatkan saingan final A di kedudukan keempat dengan catatan masa 10.39s.

Skuad olahraga negara ketika ini berada di Jerman dalam misi meningkatkan prestasi sekitar Eropah bagi menjalani latihan dan pertandingan sehingga 3 Ogos, sebagai persiapan beraksi di Sukan Asia pada 18 Ogos hingga 2 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:20 PM