EMMANUEL MACRON
EMMANUEL MACRON
AFP

PARIS: Presiden Emmanuel Macron dijadual menyaksikan aksi Perancis di separuh akhir Piala Dunia di Russia tatkala rakan sekutunya Britain melaksanakan boikot diplomatik terhadap temasya berkenaan susulan isu serangan ejen saraf sebelum ini.

Macron pernah berjanji untuk menghadiri perlawanan itu sekiranya Perancis mara ke separuh akhir di Saint Petersburg, Selasa ini dan pengesahan daripada pejabatnya itu hadir sebaik saja pasukan mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Uruguay, 2-0.

“Tahniah kepada pemain yang berpakaian biru. Jumpa Selasa ini!,” tulis presiden itu di akaun Twitter selepas perlawanan.

Pegawai British memboikot kejohanan selepas menyalahkan Moscow kerana percubaan bunuh bekas pengintip Russia, Sergei Skripal di sebuah jalan di bandar Inggeris itu, Mac lalu.

Kremlin secara tegas menafikan tuduhan yang mereka menjadi dalang serangan ke atas Skripal dan anak perempuannya dengan menggunakan senjata buatan Soviet - ejen serangan saraf Novichok sehingga menyebabkan mereka ditahan di wad hospital selama berminggu-minggu.

Isu ini kembali diperbualkan selepas satu pasangan yang berada di bandar barat daya Salisbury turut mengalami kesakitan Sabtu lalu selepas terdedah kepada bahan kimia sama sekali gus mengundang ketakutan penduduk tempatan.

Awal tahun ini, Perdana Menteri, Theresa May mengumumkan boikot rasmi ke atas Piala Dunia dan mengulangi pendirian mereka minggu ini selepas insiden terbaru itu.

Beberapa sekutunya turut mengambil pendekatan itu tetapi dengan cara berbeza.

Pegawai tertinggi Sweden dan Denmark memboikot acara pembukaan rasmi pada 14 Jun lalu namun menterinya bagaimanapun hadir menyaksikan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 7:42 AM