DUA rakyat Russia, Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov dikatakan cuba membunuh bekas perisik. FOTO/REUTERS
DUA rakyat Russia, Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov dikatakan cuba membunuh bekas perisik. FOTO/REUTERS
Reuters

LONDON: Pendakwa raya Britain hari ini mengenal pasti dua rakyat Russia dikatakan cuba membunuh bekas perisik, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia dengan agen saraf gred tentera di negara ini.

Skripal, bekas kolonel dalam perisikan tentera Russia yang mengkhianati berpuluh ejen dengan berpaling tadah kepada perkhidmatan perisikan asing Britain, MI6, dan anak perempuannya itu ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku awam di Salisbury, 4 Mac lalu.

Britain menyalahkan Russia atas insiden itu dan mengenal pasti racun terbabit sebagai Novichok, kumpulan agen saraf membawa maut dibangunkan tentera Soviet pada 1970-an dan 1980-an. Russia berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu.

Pendakwa raya berkata, satu waran tangkap Eropah dikeluarkan untuk dua rakyat Russia itu, dinamakan sebagai Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov. Polis mengeluarkan dua imej lelaki terbabit.

“Kami tidak akan memohon ekstradisi Russia terhadap lelaki itu kerana perlembagaan Russia tidak membenarkan ekstradisi warganya,” kata Pengarah Perkhidmatan Perundangan di Perkhidmatan Pendakwaan Diraja, Sue Hemming.

Ketua Anti-keganasan Polis, Neil Basu berkata, dua suspek terbabit melakukan perjalanan menggunakan nama palsu dan berusia sekitar 40-an serta memiliki pasport asli Russia.

Basu berkata, kesan pencemaran Novichok ditemyi di bilik hotel ibu kota ini di mana dua lelaki terbabit menginap. Polis berkata, mereka tiba di Britain pada 2 Mac dan pulang dua hari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:00 PM