ARSENE WENGER
ARSENE WENGER
AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap hubungan tegang diantara Britain dan Russia tidak akan melarat ke padang bola sepak ketika pasukannya bersiap berdepan CSKA Moscow dalam saingan Liga Europa di London, awal pagi nanti.

Britain sudah menggantung hubungan diplomatik peringkat tertinggi dengan Russia susulan kejadian meracun bekas perisik Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia menggunakan ajen saraf pada 4 Mac.

Pihak berkuasa United Kingdom (UK) sebelum ini mengesahkan Skripals diracun menggunakan ejen saraf buatan Russia dikenali Novichok dan menuduh serangan itu didalangi oleh kerajaan Russia.

Krisis diplomatik yang dicetuskan Russia itu sudahpun merebak ke negara blok barat lain apabila beberapa negara mengambil tindakan mengusir pegawai diplomat masing-masing.

Dalam bola sepak pula, sebelum krisis ‘meracun’ terjadi, pihak berkuasa di England sudahpun mempersoalkan keselamatan warganya yang bakal bertandang ke Russia sempena Piala Dunia nanti.

Ini kerana samseng bola sepak Russia didapati terbabit dalam beberapa pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan ketika berlangsung Kejohanan Euro 2016 di Perancis sehingga menyebabkan timbul amaran dari UEFA bahawa pasukan England dan Russia akan disingkirkan susulan tindakan ganas dua kumpulan penykong berkenaan.

Wenger, yang bercakap kepada wartawan di padang latihan di Colney, di sini berkata setakat ini pasukannya tidak terbabit dengan kesan hubungan tegang dengan Russia itu.

“Tidak, ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pemain. Tiada seorang pun pemain tahu apa yang berlaku mengenainya,” kata Wenger dalam sidang medianya.

“Ia lebih kepada hubungan diplomatik antara England (Britain) dan Russia yang menjadi kian rumit.”

Pengurus veteran dari Perancis itu menambah: “Saya hanya berharap perkara itu tidak akan menjejaskan aksi pusingan kedua di Moscow dan tidak membahayakan penyokong. Begitu juga dengan keselamatan warga Russia yang datang ke sini dan warga England yang bakal bertandang ke sana.”

Dianggarkan 500 penyokong CSKA Moscow akan berada di Stadium Emirates dan pengurusnya, Viktor Goncharenko, juga berharap fokus pasukannya hanya pada bola sepak.

“Biarlah hal politik ini diurus oleh pemimpin, kami adalah jurulatih dan pemain dan datang ke sini untuk bermain bola sepak,” kata Goncharenko.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:47 AM