PEMAIN Brazil, Willian (kiri) sedia hantar rakan sepasukan di Chelsea, Eden Hazard yang mewakili Belgium untuk mara ke separuh akhir. FOTO Agensi
PEMAIN Brazil, Willian (kiri) sedia hantar rakan sepasukan di Chelsea, Eden Hazard yang mewakili Belgium untuk mara ke separuh akhir. FOTO Agensi
AFP

SOCHI, Russia: Aksi suku akhir Piala Dunia antara Brazil dan Belgium akan mempertemukan dua pemain tengah Chelsea, namun Willian menegaskan dia akan melakukan segala-galanya untuk menghantar pulang awal rakan sekelabnya, Eden Hazard.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Kazan, awal pagi Sabtu ini waktu Malaysia dan pemain tengah Brazil, Willian yang beraksi di Stamford Bridge bersama Hazard, berkata tidak akan ada belas kasihan.

"Hazard adalah antara pemain terbaik dunia, tetapi kini kami berada dalam pasukan berlawanan," kata Willian.

"Ini adalah kali pertama saya akan berdepannya dalam tempoh lima atau enam tahun di Chelsea.

"Saya berkawan dengannya di kelab tetapi kali ini dia dengan pasukannya dan saya dengan pasukan saya sendiri, dan saya berharap berupaya untuk mengatasinya kali ini."

Willian juga akan berdepan seoarang lagi rakan sepasukan di Chelsea, Thibaut Courtois dan sedar kelebihan dimiliki barisan Belgium, yang mencatat jaringan tertinggi berbanding pencabar lain setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 4:48 AM