CHRISTOPHER FROOME
CHRISTOPHER FROOME
AFP

AIGLE, Switzerland: Chris Froome didapati bebas daripada sebarang salah laku dalam kes anti-doping yang membayangi penyertaannya pada Tour de France tahun ini.

“Saya gembira UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) membebaskan saya (daripada tuduhan),” kata pelumba British itu selepas badan induk berbasikal dunia menggugurkan siasatan ke atasnya.

Pelumba 33 tahun kelahiran Kenya itu berkata dia kini akan cuba meraih kejuaraan kelimanya dalam perlumbaan Tour de France yang akan bermula Sabtu ini.

UCI mengumumkan keputusan untuk menggugurkan kes ke atas pelumba Team Sky itu sehari selepas penganjur Tour de France melarang Froome daripada menyertai edisi tahun ini kerana disyaki terbabit doping.

Rayuan Froome terhadap larangan penyertaan itu akan didengar jawatankuasa Olimpik Perancis di Paris esok.

Pakar-pakar menjangkakan dia akan dibenarkan berlumba selepas keputusan oleh UCI itu.

Juara empat kali Tour de France itu didapati menggunakan ubat asthma Salbutamol melebihi sukatan dibenarkan ketika Vuelta a Espana pada September, yang turut dimenanginya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 6:53 PM