PEKERMAN (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. -Foto AFP
PEKERMAN (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. -Foto AFP

KAZAN: Jurulatih Colombia, Jose Pekerman memberi bayangan lebih banyak kejutan bakal berlaku selepas corak taktikal diterapkan menjamin kemenangan penting ke atas Poland seterusnya memburu slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Kemenangan ke atas Senegal dalam aksi penutup Kumpulan H, Khamis ini bakal menjamin perjalanan mereka ke pusingan kalah mati.

Sekiranya keputusan seri, mereka juga dilihat bakal mara sekiranya Poland mampu menewaskan Jepun. 

Kemenangan selesa 3-0 Los Cafeteros (Coffee Makers) ke atas pasukan kendalian Adam Nawalka mengubat duka mereka selepas tewas 1-2 di tangan Jepun tatkala perlawanan berkenaan turut menyaksikan Carloz Sanchez diarah keluar padang seawal minit ketiga.

Yerry Mina, Radamel Falco dan Juan Cuadrado kesemuanya menjadi sasaran lawan di Kazan tetapi keputusan Pekerman mempertaruhkan Juan Quintero dan James Rodriguez jelas membuahkan hasil.

Pemain tengah kreatif itu terbabit dalam ketiga-tiga jaringan dan pengendali berusia 68 tahun dari Argentina itu mahu terus memperbaiki dan memperkuatkan pasukan sekiranya itu membantu Colombia untuk memburu kemaraan.

“Terdapat banyak situasi yang mampu membuahkan hasil ataupun sebaliknya untuk sebuah pasukan bola sepak. Ini Piala Dunia. Kami perlu pantas melupakan setiap pertimbangan ataupun prejudis yang mungkin kami miliki,” kata Pekerman.

“Ketika saya memikirkan kesebelasan utama, saya melakukannya dengan membuat pertimbangan secara keseluruhan yang akhirnya menemui kemampuan diri.”

Rodriguez pernah membantu Colombia mara ke suku akhir empat tahun lalu tetapi untuk melangkah ke ke pusingan 16 terbaik pada kali ini, mereka harus menewaskan Senegal yang pernah menewaskan Poland 2-1 dan seri 2-2 dengan Jepun.

Colombia dijadual bertemu sama ada England ataupun Belgium dalam kasi 16 terbaik sekiranya mereka melangkah ke pusingan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:15 AM