ESSAM EL-HADARY
ESSAM EL-HADARY
AFP

VOLGOGRAD: Essam El Hadary bakal mencatat sejarah selaku pemain tertua yang beraksi di Piala Dunia selepas penjaga gol Mesir berusia 45 tahun itu disenaraikan dalam perlawanan menentang Arab Saudi di sini, sebentar lagi.

Mesir memuat naik kesebelasan utamanya dalam Twitter termasuklah menyenaraikan El Hadary yang akan memadamkan rekod lama penjaga gol tertua dari Colombia, Faryd Mondragon, yang berumur 43 tahun dan tiga hari apabila dia bermain menentang Jepun di Brazil pada 2014.

Bintang Liverpool, Mohamed Salah juga disenaraikan dalam kesebelasan utama apabila Mesir memburu kemenangan pertama mereka selepas tiga perlawanan.

Salah terlepas perlawanan pertama yang menyaksikan Mesir tewas 0-1 kepada Uruguay susulan kecederaan bahu kirinya ketika final Liga Juara-Juara bulan lalu. 

Dia menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika kekalahan 1-3 kepada Russia pada awal pagi Rabu lalu.

El Hadary, yang berumur 45 tahun dan 161 hari mempunyai nama panggilan ‘High Dam’ membuat penampilan sulung bersama Mesir pada 1996 – setahun sebelum rakan sepasukan Mesir, Ramadan Sobhy dilahirkan.

Aksi Mesir dan Arab Saudi adalah bagi melengkapkan jadual perlawanan, selepas kedua-dua pasukan tersingkir daripada saingan Kumpulan A, dengan tuan rumah, Russia dan Uruguay sudah pun menempah tiket ke kelompok 16 pasukan terakhir.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 9:56 PM