AL-DAWSARI (dua dari kanan) jaring gol kemenangan Arab Saudi. -Foto Reuters
AL-DAWSARI (dua dari kanan) jaring gol kemenangan Arab Saudi. -Foto Reuters
Reuters

VOLGOGRAD: Arab Saudi meraih kemenangan pertama di Piala Dunia 2018 selepas menundukkan Mesir 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Arab Saudi menduduki tempat ketiga dalam carta kumpulan, meraih kemenangan tunggal selepas rekod buruk dalam dua perlawanan awal termasuk dibelasah tuan rumah Russia 5-0.

Namun, keputusan itu juga adalah kekecewaan pahit bagi Mesir, dengan penyerang berbisa Liverpool, Mohamed Salah tidak mampu untuk mengelak kekalahan ketiga berturut-turut negaranya.

Salah meledak gol pembukaan pada minit ke-22, namun kelebihan itu dihapuskan dengan gol penyamaan Arab Saudi menerusi Salman Al-Faraj pada penghujung babak pertama.

Impian Mesir untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam kempen Piala Dunia lebur selepas Salem Al-Dawsari meledak gol kemenangan Arab Saudi pada masa kecederaan.

Penjaga gol Mesir, Essam El-Hadary menjadi pemain tertua pernah muncul di Piala Dunia pada usia 45 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:51 AM