Ezzeldin Bahader (tengah) beraksi bersama kelab bahagian tiga di Mesir. FOTO Agensi
Ezzeldin Bahader (tengah) beraksi bersama kelab bahagian tiga di Mesir. FOTO Agensi
Agensi

Mesir: Seorang datuk dari Mesir diiktiraf sebagai pemain bola sepak profesional paling tua di dunia.

Rekod itu diiktiraf Guinness World Records selepas Ezzeldin Bahader yang berusia 74 tahun melancarkan usaha memecah rekod pada awal tahun ini, namun tertangguh kerana pandemik Covid-19 yang menghentikan saingan bola sepak di Mesir.

Ketika beraksi buat pasukan tempatan October 6 berdepan kelab El Ayat Sports dalam saingan liga bahagian tiga Mesir Sabtu lalu, pemain veteran itu memenuhi kriteria yang diperlukan oleh Guinness World Records dalam usaha mencetak nama sebagai pemain bola sepak profesional paling tua di dunia.

"Saya mempunyai impian untuk memecah rekod sendiri sekali lagi, hanya untuk menjadikan saingan ini lebih sengit," kata Bahader bapa kepada empat orang anak selepas dia mengatasi rekod pemain Israel, Isaak Hayik, 73, di tangga teratas.

Bahader yang akan menginjak usia 75 tahun pada November ini mampu melanjutkan rekodnya jika dapat mencari majikan baru selepas beraksi pada perlawanan itu.

Mesir turut mencipta rekod dalam kategori pemain paling tua beraksi di Piala Dunia dengan penjaga gol legenda negara itu, Essam El Hadary mengatasi rekod terdahulu pemain Colombia, Faryd Mondragon apabila tampil bersama Pharaohs pada kejohanan Russia 2018 di usia 45 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:30 AM