MESSI (tengah) gigih berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
MESSI (tengah) gigih berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Selepas diikat Iceland dan dimalukan Croatia, kempen Argentina di Piala Dunia Russia dilihat hampir menemui noktah namun Lionel Messi dan rakan sepasukannya masih memiliki peluang terakhir berdepan Nigeria, esok.

Kemenangan ke atas wakil Afrika itu yang ditewaskan dalam empat pertemuan di Piala Dunia sebelum ini akan mengesahkan tempat mereka ke pusingan 16 terbaik selagi Iceland tidak mencipta kejutan ke atas Croatia yang sudah pun layak.

Meskipun Iceland meraih kemenangan pertama mereka di Piala Dunia, Argentina masih lagi akan mara berdasarkan perbezaan jaringan.

Begitupun, kebangkitan memerlukan peningkatan yang besar dalam persembahan dan juga semangat setiap pemain yang setakat ini masih gagal diperagakan oleh juara dua kali itu di Russia.

“Saya berasakan pemain dalam pasukan itu sedang marah,” kata legenda Argentina yang juga adalah pemenang Piala Dunia 1986, Diego Maradona.

“Saya juga berang dan begitu sedih kerana sesiapa sahaja yang menyarung jersi pasukan ini tidak boleh melihat ia dibelasah pasukan seperti Croatia. Mereka bukan Jerman, Brazil, Belanda ataupun Sepanyol.”

Meskipun beraksi hebat di peringkat kelab, Messi sering menjadi perbandingan susulan kegagalan mengikuti kejayaan Maradona yang membawa kejayaan untuk negaranya di kejohanan utama.

Bagaimanapun, khidmat pemain terbaik dunia lima kali itu sudah tentu ditagih pada aksi penentu nasib mereka di Piala Dunia.

“Leo baik-baik sahaja,” kata pemain tengah veteran, Javier Mascherano.

“Dia tetap manusia biasa yang kecewa kerana perkara tidak berjalan dengan baik, begitu juga dengan kami. Suka ataupun tidak, kami adalah naib juara Piala Dunia dan kami perlu menunjukkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:17 AM