Mbappe. FOTO AFP
Mbappe. FOTO AFP
Agensi

 

LONDON: Musim lalu Arsenal berjaya mencuri perhatian kerana menjadi kelab utama memburu bintang muda Perancis, Kylian Mbappe bersama Real Madrid.

Kali ini Manchester United dan City pula dikatakan bersaing untuk mendapatkan pemain berkenaan sekali gus dapat menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu Paris Saint-Germain (PSG).

Kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan adalah di antara pasukan terkaya bola sepak dunia dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk berbuat demikian dalam usaha memperkuatkan lagi pasukan menjelang musim baru.

Pengurus City, Pep Guardiola sebelum ini berminat untuk mendapatkan Alexis Sanchez dan Riyad Mahrez dalam dua jendela perpindahan sebelum ini, manakala Jose Mourinho harus mencari jalan bagaimana menyelesaikan jurang 19 mata selepas mereka terlepas peluang untuk menjulang trofi EPL.

Mbappe boleh menjadi tunjang di bahagian serangan dan dia sudah mula dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi, seterusnya diletakkan calon sebagai pemenang anugerah Ballon d'Or pada masa akan datang.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak 18 gol dan membantu lapan jaringan dengan pasukan pesaing Liga Juara-Juara itu yang bakal berdepan hukuman pengusiran daripada menyertai kejohanan kelab utama Eropah itu jika gagal menjelaskan kerugian dalam pasaran perpindahan pemain.

Khamis lalu Mbappe berjaya menjaringkan gol sulungnya di pentas Piala Dunia ketika membantu Perancis mengalahkan Peru dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Dia juga mencatat rekod penjaring termuda Les Blues dalam sejarah Piala Dunia pada usia 19 tahun, enam bulan dan satu hari.

Rekod terdahulu dicatatkan David Trezeguet yang dilakukan pada Piala Dunia 1998 ketika tuan rumah mengalahkan Arab Saudi, 4-0 di peringkat kumpulan.

Ketika itu Trezeguet yang meledak gol kedua Perancis berusia 20 tahun 246 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:54 PM